Pendahuluan
Kanser adalah penyakit kronik yang boleh dihidapi oleh sesiapa saja tanpa mengira usia dan jantina. Kanser boleh menyebabkan penderitaan ke atas penghidapnya, penderitaan yang dialami seringkali memberi kesan yang sangat besar kepada diri pesakit dan juga ahli-ahli keluarga yang lain. Tidak semua kanser boleh diubati sepenuhnya dan tidak semua pesakit kanser yang telah pulih akan terhindar dari mendapat kembali kanser yang sama. Terdapat juga di kalangan pesakit yang menghidap lebih dari satu jenis kanser seperti kanser ovari dan kanser rahim. Ada juga pesakit yang menghidap kanser payudara dan kemudiannya di dapati pula menghidap kanser ovari. Kanser kedua yang terjadi di organ yang lain mungkin juga disebabkan oleh kanser yang sama telah merebak ke organ tersebut. Bab ini akan memperkatakan tentang penjagaan pesakit kanser yang menghadapi keadaan di mana kanser yang dihidapi tidak boleh disembuhkan lagi. Bab ini juga akan menerangkan berkenaan dengan penjagaan pesakit-pesakit kanser yang berada pada peringkat akhir ataupun terminal. Tidak semua ahli masyarakat mengetahui betapa pentingnya penjagaan ke atas pesakit-pesakit yang menghadapi masalah yang tersebut dan tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat kaedah-kaedah rawatan yang boleh mengurangkan penderitaan penghidap kanser yang berada pada peringkat akhir ini. Kita tentu banyak menyaksikan bagaimana ramai pesakit kanser yang terbiar dan terlantar tanpa sebarang usaha-usaha untuk mengurangkan penderitaan mereka dan pesakit-pesakit ini akan meninggal dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Kaedah rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser yang berada pada peringkat akhir ataupun yang tidak boleh disembuhkan lagi dinamakan penjagaan ataupun rawatan paliatif.
PENJAGAAN PALIATIF
Penjagaan paliatif bermaksud penjagaan holistik yang merangkumi rawatan melegakan masalah fizikal, sosial dan psikologi pesakit. Pesakit yang dimaksudkan di sini adalah pesakit yang menghidap penyakit-penyakit kronik yang serius dan tidak ada peluang untuk sembuh. Penjagaan paliatif ini juga meliputi penyakit buah pinggang dan lain-lain. Walau bagaimanapun penyakit yang sering dikaitkan dengan penjagaan paliatif ini adalah penyakit kanser. Penjagaan paliatif telah bertapak lama di negara kita dan sehingga hari ini terdapat banyak pusat-pusat rawatan paliatif samada di Hospital Kerajaan ataupun swasta. Ianya dikendalikan oleh petugas-petugas yang datangnya dari berbagai-bagai latar belakang termasuk bekas-bekas pesakit sendiri. Hampir di semua hospital-hospital besar kerajaan mempunyai pusat rawatan paliatif. Pusat-pusat rawatan paliatif ini akan mempunyai doktor yang bertugas, jururawat-jururawat dan sukarelawan-sukarelawan. Di tempat-tempat tertentu, pusat rawatan paliatif ini dinamakan Hospis. Penjagaan paliatif merangkumi aspek fizikal , mental (psikologi) dan juga sosial, dengan itu penjagaan paliatif ini memerlukan penglibatan semua pihak seperti doktor, jururawat, pekerja sosial, pakar psikiatri dan yang paling penting adalah penglibatan ahli-ahli keluarga yang terdekat. Penjagaan atau rawatan paliatif ini merangkumi penjagaan semenjak pesakit dimasukkan ke wad di hospital sehinggalah penjagaan pesakit di rumah . Di antara perkhidmatan-perkhidmatan yang terdapat di dalam bidang penjagaan paliatif ini adalah :
Rawatan melegakan kesakitan
Rawatan melegakan gejala-gejala akibat kanser seperti perdarahan, jangkitan kuman, keluar lendiran berbau, kesukaran bernafas, kesukaran membuang air besar dan lain-lain.
Lawatan ke rumah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pesakit di rumah.
Aktiviti-aktiviti sosial dan kumpulan sokongan onkologi serta aktiviti-aktiviti spiritual
Khidmat nasihat kepada ahli-ahli keluarga yang menjaga pesakit untuk mengurangkan beban mereka.
Setengah-setengah Pusat Rawatan Paliatif juga memberi bantuan sokongan memulihkan masalah fizikal seperti pemindahan darah, mengeluarkan air dari selaput paru-paru, mengeluarkan air dari rongga abdomen (ascitis) dan ada juga yang menyediakan rawatan kemoterapi.
BILAKAH PESAKIT DIKATAKAN MENGHIDAP KANSER YANG TIDAK BOLEH DISEMBUHKAN.
Terdapat tiga golongan besar pesakit kanser yang dikatakan telah mencapai peringkat di mana kanser mereka sudah tidak dapat disembuhkan lagi, golongan tersebut adalah :
Pesakit-pesakit baru yang dikesan menghidap kanser dan didapati sudah berada pada peringkat akhir iaitu peringkat 4. Contohnya, pesakit kanser pangkal rahim yang didapati kansernya sudah merebak ke paru-paru, hati, tulang, otak dan lain-lain anggota badan.
Pesakit yang telah menjalani rawatan tetapi kemudiannya didapati menghidap semula kanser yang sama. Pada mulanya pesakit tersebut mungkin menghidap kanser pada peringkat awal serta telah menjalani rawatan lengkap dan sembuh tetapi selepas beberapa ketika, kanser tersebut datang kembali. Untuk kali kedua ini, kanser tersebut telah merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain seperti hati, paru-paru, tulang dan lain-lain. Ada juga di kalangan pesakit ini yang didapati telah sembuh sepenuhnya untuk jangkamasa 2-3 tahun tetapi selepas itu didapati kanser tersebut datang kembali.
Golongan ketiga adalah pesakit-pesakit kanser yang tidak dapat menjalani rawatan disebabkan oleh masalah kesihatan ataupun keupayaan fizikal yang sangat lemah . Masalah-masalah fizikal yang dimaksudkan adalah seperti kegagalan buah pinggang, kegagalan hati, penyakit jantung yang serius dan lain-lain. Dalam keadaan ini sebarang bentuk rawatan kanser akan menyebabkan komplikasi yang sangat tinggi termasuk kematian.
No comments:
Post a Comment