Followers

Friday, October 23, 2009

Hati-hati....

Tiga jam mamai mata direnung
Oleh Sarah Zulkifli

KUALA LUMPUR: Hanya dengan renungan, dua penjenayah pakar pukau dipercayai mampu menghilangkan ingatan seorang wanita sebelum melarikan barang berharga miliknya di hentian teksi berhampiran stesen LRT Sentul, di sini.

Difahamkan, mangsa berusia 20-an itu menjadi tidak waras selepas 'terkena' ilmu pukau apabila hanya duduk berseorangan di hentian teksi lebih tiga jam.Bagaimanapun, seorang wanita yang kebetulan melalui tempat berkenaan dan mengenali mangsa kemudian membantu dengan membawa wanita terbabit pulang ke rumahnya di Sentul.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam kelmarin itu, wanita yang bekerja di sebuah bank di ibu kota dalam perjalanan pulang ke rumah daripada tempat kerja. “Mangsa dikatakan menaiki LRT dan duduk bersendirian menunggu teksi sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal yang tidak dikenali,” katanya.

Menurut sumber, seorang daripada penjenayah terbabit turun daripada motosikal berkenaan dan berpura-pura sesat lalu bertanya arah jalan kepada mangsa. Bagaimanapun, mangsa yang ketakutan enggan melayan pertanyaan itu.

“Dalam masa sama, lelaki itu mendekati mangsa sebelum dikatakan merenung mata wanita berkenaan dengan sekali lagi bertanya arah jalan.

“Mangsa dikatakan sudah 'terkena' ilmu pukau apabila tidak menyedari apa yang berlaku selepas ditegur lelaki berkenaan,” katanya. Sumber berkata, mangsa hanya tersedar daripada dipukau pada jam 6 pagi keesokannya di rumahnya selepas dihantar wanita yang mengenalinya itu dan mendapati beg tangan yang mempunyai beg duit dan telefon bimbit lesap.

Menurutnya, mangsa yang bingung dan tidak dapat mengingati apa-apa selepas 'ditegur' dua lelaki itu kemudian bertanya kepada ibu mengenai perkara yang menimpa dirinya.

“Mangsa terkejut selepas dimaklumkan yang dirinya dalam keadaan tidak waras duduk bersendirian di hentian teksi,” katanya.

2 comments:

siti ajar bt yaakob said...

Pastikan kita sentiasa membaca doa-doa dari Ayat Quran. Dalam dunia sekarang,..kita terdedah dengan pelbagai tipu daya manusia. Berserah dan berhati-hati.

Tirana said...

Ada yang guna cara halus, ada yang guna cara kasar untuk merompak harta orang lain. Semuanya kerana mereka malas untuk berusaha bagi mencari rezeki yang halal.

Blog ini untuk semua....

Mai la pakat sumbang bahan atau info ke...cerita ke, foto ke, resepi ke....sama-sama manafaatkan teknologi untuk kebaikan. welcome!

kucing pun pandai marah beb..he he